SEKAPUR SIREH TUAN GURU BESAR
Kejayaan sesebuah organisasi atau institusi amat bergantung kepada dasar atau polisi yang digubal. Tanpa dasar atau polisi yang mantap, jelas, pragmatik, sistematik dan holistik sesebuah organisasi atau institusi tersebut akan menghadapi pelbagai masalah, kekangan dan halangan yang menyebabkan ianya tidak dapat berkembang maju seperti mana yang diharapkan. Sesuatu dasar yang digubal seolah-olah menjadi “Perlembagaan Yang Bertulis” yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli organisasi yang bernaung dibawahnya.
Menyedari hakikat tersebut, pihak sekolah menggubal satu dasar atau polisi sekolah yang menjadi garis panduan dalam proses pengurusan dan pentadbirannya. Justeru dasar sekolah harus menjadi teras dan mekanisme yang perlu dipatuhi oleh seluruh warga pendidik khususnya guru-guru dalam merancang, mengurus dan menjalankan aktiviti sama ada dalam bidang kurikulum dan kokurikulum serta aktiviti luar sekolah supaya tidak menimbulkan sebarang masalah atau perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Prosedur dan peraturan yang digubal dalam dasar sekolah telah mengambil kira semua aspek yang berkaitan dengan Etika Perkhidmatan, Surat-surat Perkeliling, Perintah-perintah Am, Arahan-arahan Am dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa tertakluk dengan arahan daripada Jabatan Pendidikan Johor dan / atau Kementerian Pendidikan Malaysia.
Oleh yang demikian, pihak sekolah berharap melalui penggubalan dan perwartaan dasar sekolah ini secara rasmi, akan menjadi pemangkin kepada satu sistem pengurusan dan pentadbiran yang mantap, dinamik dan telus selaras dengan hasrat dan cita-cita negara ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan ini hanya mampu dicapai sekiranya semua pihak khususnya warga sekolah berganding bahu dengan semangat yang tinggi demi menyahut cabaran tersebut.
Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah yang meluangkan banyak masa, tenaga dan buah fikiran dalam proses penggubalan dasar sekolah. Sesungguhnya, saya amat menghargai sokongan dan kerjasama seluruh warga sekolah dalam menjayakan wawasan dan gagasan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan negara.
Sekian dan terima kasih.
Zulkiflee Bin Miswan
Guru Besar, SK Taman Universiti 2, Johor Bahru